|
Era
DotCom |
Internet |
Tips IT |
Multimedia
ERA
DotCom
CIRI
KEUSAHAWANAN MENJADI RAMUAN UTAMA
Beberapa tahun
yang lepas, perniagaan berasaskan dotcom dilihat sebagai
gelombang besar yang berupaya untuk mengubahkan segalanya.
Lanjutan daripada kehadiran gelombang ini, kita menyaksikan
usahawan serta syarikat berlumba-lumba untuk memanfaatkan
kehadiran era baru ini dengan sebaik munkin. Daripada syarikat
yang gah serta besar sehinggalah kepada syarikat-syarikat yang
baru mahu berjinak-jinak dengan era ekonomi digital sudahpun
mula memasang harapan serta impiannya.
Fasa
terawal kehadiran gelombang dotcom telah memberikan pulangan
serta laba keuntungan yang besar kepada para pelabur mahupun
pemain dalam perniagaan dotcom ini. Kejayaan awal yang berupaya
dicapai oleh pemain-pemain ini turut memberikan harapan kepada
pemain-pemain lain yang berhasrat untuk melibatkan diri di dalam
perniagaan ini bahawa ini adalah lubuk emas yang berupaya untuk
memberikan pulangan yang lumayan.
Namun apabila gelombang tersebut reda serta kemudiannya
dikejutkan pula oleh kejatuhan harga-harga saham syarikat
dotcom, maka pemain-pemain ini dilanda kebingungan serta hilang
arah tuju. Ekoran daripada kejadian ini, kita melihat kumpulan
syarikat-syarikat dotcom terpaksa mengulung tikar sekaligus
menghampakan harapan para pelabur serta pembiaya kewangan mereka.
Antara kesilapan besar yang dapat dilihat ialah kurangnya ciri
keusahawanan pada para usahawan dotcom. Menyedari akan hakikat
bahawa syarikat-syarikat dotcom ini menjadi teknologi sebagai
teras utama perniagaan mereka, maka kemampuan serta kemahiran
teknologi haruslah juga dimiliki oleh usahawan serta peneraju
syarikat tersebut. Ini adalah kerana membiarkan semua tugasan
kepada tenaga kerja semata-mata akan menjadikan mereka gagal
untuk mengetahui permasalahan kerja dengan lebih dekat lagi.
selain daripada itu, masa yang diambil untuk memberikan respon
serta mengalihkan strategi perniagaan dengan kehendak serta
keperluan semasa juga akan menjadi lebih lambat.
Namun masalah yang lebih besar ialah masa depan serta
kesinambungan hayat sesebuah syarikat akan terletak kepada
tenaga kerjanya. Musibah terbesar yang akan menimpa ialah
apabila tenaga kerja tersebut berhenti daripada menyumbang
khidmatnya ataupun dipancing oleh syarikat lain. Dalam keadaan
begini, nasib syarikat tersebut bagaikan telur dihujung tanduk.
Selain daripada itu, faktor kos juga memainkan peranan yang
penting. Usaha untuk mengurangkan kos khususnya dalam
perbelanjaan operasi seharian haruslah diberi tumpuan.
Perbelanjaan tidaklah harus disandarkan unjuran pulangan
semata-mata tetapi juga pulangan serta keuntungan semasa yang
dicatat oleh mereka. Para usahawan yang mendapatkan suntikan
kewangan juga haruslah prihatin dan peka terhadap tanggungjawab
moral mereka kepada syarikat-syarikat modal teroka. Ianya
diberikan sebenarnya dengan harapan kelak akan dapat meraih
keuntungan bersama.
Lihat sahajalah bagaimana pengendali gerai makanan dapat
mengendalikan perniagaan secara menerus berdekad-dekad lamanya.
Dengan penampilan yang sederhana serta perbelanjaan yang
berhemat, mereka berupaya untuk terus kekal serta berjaya.
Risiklah rahsia kejayaan mereka, munkin ia dapat membantu para
usahawan dotcom kita.
Era
DotCom |
Internet |
Tips IT |
Multimedia
|